KOTA KINABALU: Pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter bermula Julai depan membuktikan bahawa reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI kini mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar melalui penggunaan MyKad bukan sahaja memastikan subsidi sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, malah membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan yang telah sekian lama menjejaskan keberkesanan sistem subsidi negara.
Tambah Mustapha, langkah ini juga dilaksanakan ketika dunia masih berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global.
“Konflik yang berterusan di Asia Barat menuntut negara mengambil pendekatan yang lebih strategik dalam menjamin keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi.
“Dalam konteks ini, usaha Malaysia memperkukuh kerjasama tenaga dengan negara seperti Russia dan Turkmenistan serta jaminan bekalan tenaga yang diperoleh melalui hubungan strategik dengan negara pengeluar tenaga utama membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketahanan tenaga negara untuk jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Penurunan harga diesel ini juga katanya mencerminkan Dasar luar, Hubungan Antarabangsa serta kecekapan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurus ekonomi negara secara berhemah, di mana hasil reformasi yang dilaksanakan berjaya mengawal beban kos sara hidup rakyat.






