KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditemukan meninggal dunia kira-kira 150 meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas ketika menyeberang sungai di Kampung Lebak Engad pada jam 6.15 petang kelmarin.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan selepas dipastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.
“Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8.50 pagi dengan kerjasama semua agensi penyelamat. Operasi dijalankan melalui dua kaedah iaitu pencarian di permukaan sungai menggunakan bot penyelamat menerusi teknik Water Surface Search serta pencarian darat di sepanjang tebing sungai.
“Mangsa akhirnya ditemukan oleh orang awam pada jam 6.15 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.18 tengah hari Rabu memaklumkan seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad.
Susulan itu, sepasukan lapan anggota dari BBP Kota Belud bersama sebuah lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah van digerakkan ke lokasi, yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba menjalankan penilaian situasi serta mendapatkan maklumat awal daripada pengadu dan penduduk kampung sebelum memulakan operasi pencarian.
Operasi awal dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue dengan pencarian di sepanjang tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Pada jam 4.30 petang hari pertama, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu tiba di lokasi sebelum melaksanakan selaman pertama di kawasan mangsa kali terakhir dilihat dengan radius pencarian sejauh 500 meter.
Operasi SAR turut disertai anggota daripada PPDA BBP Kota Marudu, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 30 penduduk kampung.






