Konsert Aishah Raih Sambutan Gemilang, Raikan 40 Tahun Legasi Seni

Konsert Aishah Raih Sambutan Gemilang, Raikan 40 Tahun Legasi Seni

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Konsert “Aishah 40 Chapters of Love” meraikan empat dekad perjalanan seni Dato’ Aishah berlangsung penuh gemilang di Megastar Arena, dihadiri peminat dari seluruh negara pada Sabtu.

Dianjurkan Vox Nation Live, persembahan hampir tiga jam itu menggabungkan rangkaian lagu malar segar yang menelusuri perjalanan kerjaya beliau menerusi konsep penceritaan muzik.

Antara lagu dipersembahkan termasuk “Camar Yang Pulang”, “Kau Sahabat, Kekasih & Teman”, “Di Mana Ku Cari Ganti” dan “Janji Manismu”, yang menjadi kemuncak apabila dinyanyikan bersama penonton.

Konsert turut diserikan kemunculan penyanyi Ara Johari menerusi duet “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, selain persembahan solo beliau. Susunan muzik oleh Pengarah Muzik Sharon Paul menampilkan nafas segar tanpa menghilangkan identiti asal karya.

Vox Nation Live turut memperkenalkan vinyl edisi terhad sebagai cenderamata eksklusif buat peminat dan pengumpul.

Menyifatkan malam itu antara detik paling bermakna dalam kerjayanya, Dato’ Aishah berkata sokongan peminat menjadi kekuatan utama beliau untuk terus berkarya.

“Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni. Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati.

“Saya amat bersyukur dapat berkongsi malam yang begitu indah bersama mereka. Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan yang paling berharga,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, berkata penganjuran konsert itu merupakan penghormatan dalam meraikan legasi seorang legenda muzik tanah air.