KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar segera menggubL Akta Pelarian Malaysia sebagai kerangka perundangan nasional yang komprehensif bagi menangani polemik pelarian di negara ini secara menyeluruh, sekali gus memastikan isu berkenaan tidak lagi bergantung kepada dasar pentadbiran semata-mata.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menggesa perkara itu berkata, ketiadaan undang-undang khusus menyebabkan pelbagai isu berkaitan pelarian, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan warga asing terus berlarutan tanpa penyelesaian yang benar-benar tuntas.
“Saya dan beberapa rakan Ahli Parlimen telah berulang kali membangkitkan isu pelarian, PATI serta pelbagai kes berkaitan warga asing, namun sehingga kini masih belum ada penyelesaian yang menyeluruh.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai PATI di Sabah telah ditubuhkan pada tahun 2012 dan syor-syornya juga telah dibentangkan di Dewan Rakyat, tetapi sehingga hari ini masih belum ada tindakan konkrit daripada kerajaan.
“Maka kali ini, Tuaran mencadangkan agar Akta Pelarian Malaysia digubal dengan kadar segera bagi menangani isu pelarian yang berlarutan,” katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Ujar Madius, umum mengetahui bahawa konflik bersenjata yang berlaku di Selatan Filipina sejak awal dekad 1970-an telah menyebabkan puluhan ribu rakyat Filipina melarikan diri ke Sabah untuk mendapatkan perlindungan.
Para pelarian tersebut jelasnya telah ditempatkan di enam skim penempatan utama di Sabah dengan kerjasama United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) sebelum tanggungjawab pentadbirannya diambil alih oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Keadaan ini menimbulkan pelbagai cabaran dari segi keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan perlindungan hak asasi manusia.
“Ini kerana Malaysia tidak mempunyai suatu kerangka perundangan nasional yang khusus bagi mentakrifkan status pelarian, mengawal selia hak dan tanggungjawab mereka, serta memperjelaskan bidang kuasa kerajaan dalam mengurus isu pelarian.
“Oleh yang demikian, akta baharu itu kelak perlu memperuntukkan takrifan jelas status pelarian, prosedur pendaftaran, mekanisme pengurusan yang menyeluruh, serta kaedah penyelesaian jangka panjang termasuk proses penghantaran pulang secara sukarela,” tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli.
Sebagai langkah perundangan tambahan, Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Pelarian dan Orang Tanpa Kerakyatan untuk menjalankan kajian komprehensif terhadap dasar pelarian negara.
“Isu pelarian bukan lagi isu sementara, malah ia telah menjadi realiti yang telah kita hadapi selama lebih lima puluh tahun.
“Justeru, saya berharap agar negara segera beralih kepada satu kerangka perundangan yang jelas demi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara pada masa hadapan,” tegasnya.






