TAWAU: Polis Daerah Tawau menahan dua wanita yang disyaki terbabit dalam kejadian gaduh gempar dan khianat sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di sebuah restoran di Bandar Fajar, di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Polis Daerah Tawau menerusi hantaran di Facebook semalam, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau selepas pihak polis menerima laporan berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di premis makanan berkenaan.
Polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila dua pelanggan wanita bertengkar sebelum pergaduhan itu mengakibatkan beberapa harta benda milik restoran mengalami kerosakan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya mengesan serta menahan kedua-dua suspek di tepi Jalan Haji Karim, Tawau.
“Kedua-dua suspek terdiri daripada wanita berusia 19 dan 20 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut,” menurut kenyataan itu.
Siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek merupakan warga asing yang berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Suspek terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Polis turut memaklumkan tiada sebarang rampasan dibuat semasa tangkapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.






