SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki tempatan yang masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai Manila di sini pada Petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.01 petang.
Susulan itu katanya, sepasuka lima anggota bomba Sandakan dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 19 kilometer dari balai dan tiba pada jam 6.36 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kedua-dua mangsa telah berjaya dibawa keluar dari kolam oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Pemeriksaan oleh pegawai kesihatan mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian membantu mengangkat serta membawa mangsa ke lokasi yang selamat sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi itu kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.08 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi sebarang risiko atau bahaya di lokasi kejadian.






