KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mempersoalkan konsistensi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang pada tahun 2021 secara terbuka melafazkan sumpah “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun 2022, UMNO mengambil keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, apa yang lebih menghairankan ialah ketika UMNO terus menikmati kuasa di Putrajaya hasil kerjasama dengan PH, parti itu kini memilih untuk bertanding menentang PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila di Negeri Sembilan UMNO sanggup bekerjasama dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi menentang PH, sedangkan di peringkat Persekutuan PAS dan PN merupakan blok pembangkang yang menjadi musuh politik Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO.
“Persoalannya, apakah prinsip sebenar UMNO? Siapakah sebenarnya kawan dan siapakah lawan? Mengapa apabila memerlukan kuasa di Putrajaya, PH dijadikan rakan, tetapi apabila tiba pilihan raya negeri, PH pula dijadikan musuh? Adakah prinsip politik hari ini hanya berubah mengikut keperluan untuk menang pilihan raya?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berpandangan bahawa pihak yang paling menjadi mangsa dalam percaturan politik ini ialah Pakatan Harapan.
“PH telah memberi laluan kepada UMNO untuk terus berada dalam kerajaan demi kestabilan negara, namun apabila tiba pilihan raya negeri, PH pula dijadikan sasaran politik UMNO. Tindakan ini menimbulkan persepsi bahawa kerjasama politik hanya dihargai apabila menguntungkan UMNO, tetapi diketepikan apabila kepentingan pilihan raya mengatasi segala-galanya,” katanya.
Menurut beliau lagi, persoalan yang lebih besar ialah mengenai sumpah yang pernah dilafazkan oleh Presiden UMNO.
“Apa jadi dengan lafaz ‘Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ yang pernah diucapkan di hadapan rakyat? Adakah sumpah yang menyebut nama Allah boleh berubah mengikut percaturan politik semasa?” katanya.

Dalam kenyataan sama, G57 turut mengingatkan sabda Rasulullah SAW:
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia khianat.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, G57 turut memetik firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 145:
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu berada pada tingkatan yang paling bawah daripada neraka.”
Menurut G57, hadis dan ayat al-Quran tersebut merupakan peringatan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa memelihara amanah, menunaikan janji serta tidak mempermainkan kepercayaan rakyat.
Mengulas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 Zulkarnain berkata pengundi Negeri Sembilan sewajarnya mengambil iktibar daripada keputusan di Sabah apabila UMNO yang bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya mampu memenangi enam kerusi.

“Keputusan tersebut merupakan tamparan hebat kepada kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ia menunjukkan bahawa rakyat Sabah berani menghukum sebuah parti yang mereka rasakan telah kehilangan arah, tidak lagi konsisten dengan pendirian serta gagal mempertahankan janji yang pernah dibuat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata G57 percaya pengundi Negeri Sembilan juga mempunyai kebijaksanaan untuk menghantar mesej yang sama.
“Dalam demokrasi, kuasa sebenar berada di tangan rakyat. Mana-mana parti yang gagal mempertahankan prinsip, memungkiri janji dan mengelirukan rakyat melalui percaturan politik berhak menerima penilaian rakyat di peti undi,” katanya.
Beliau turut berharap Allah SWT memberikan hidayah kepada semua pemimpin negara agar sentiasa bercakap benar, menepati janji dan memelihara amanah.
“Rakyat Malaysia mahukan pemimpin yang berprinsip, bukannya pemimpin yang mengubah pendirian mengikut kepentingan politik semasa,” katanya.






