Percepat Selesai Baki Isu MA63, Mustapha Arah Kementerian dan Agensi Bertindak Segera

Percepat Selesai Baki Isu MA63, Mustapha Arah Kementerian dan Agensi Bertindak Segera

0
SHARE

PUTRAJAYA: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan memberi keutamaan kepada penyelesaian baki isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dijadual dipengerusikan Perdana Menteri pada September ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 Bilangan 2 Tahun 2026 yang turut meneliti status terkini pelaksanaan serta kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63.

Beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, yang kini sedang menerima rawatan kesihatan.

Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan supaya memberikan keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut Mustapha, selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara-perkara yang telah dipersetujui di bawah MA63, mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas menerusi platform MTPMA63.

Katanya, ia merangkumi pelaksanaan inisiatif borneonisasi perkhidmatan awam, usaha merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 terbukti berkesan dalam mempercepat penyelesaian pelbagai isu secara konsensus.

“Pendekatan rundingan berterusan melalui jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah membuktikan bahawa banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Mustapha berkata, antara perkembangan penting yang direkodkan ialah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026, selain kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai 2026.

Menurut beliau, kedua-dua pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan MA63 secara progresif.

“Kedua-dua pencapaian ini membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan MADANI bukan sekadar memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak,” katanya.