Syukbah Wanita MNH Himpun 150 Peserta Khatam Al-Quran, Santuni Guru

Syukbah Wanita MNH Himpun 150 Peserta Khatam Al-Quran, Santuni Guru

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 150 peserta menyertai Khatam Perdana Maulidur Rasul anjuran Syukbah Wanita Masjid Nurul Hikmah (MNH) Bukit Padang yang turut mengangkat program Santuni Guru sebagai penghargaan terhadap jasa pendidik dalam membentuk masyarakat.

Pengerusi Syukbah Wanita MNH, Hazimah Mohd Tahir berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan penghayatan terhadap Al-Quran dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, malah menjadi wadah menghargai jasa serta pengorbanan guru.

“Melalui program Santuni Guru, kita mahu menghargai mereka yang telah lama mencurahkan khidmat dalam bidang pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Kita juga menziarahi guru-guru, khususnya mereka yang uzur dan lanjut usia sebagai tanda ingatan serta penghargaan terhadap segala jasa dan sumbangan mereka,” katanya pada program bersempena Bulan Kemerdekaan yang berlangsung di Dewan Kinabalu, Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Haji Bongsu @ Aziz Haji Jaafar.

Program yang bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu diisi dengan bacaan doa, persembahan Syukbah Wanita MNH serta qasidah dan selawat Nabi oleh pelajar Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah MNH.

Majlis diteruskan dengan Khatam Al-Quran dan bacaan doa khatam serta ceramah oleh Mufti.

Bacaan ayat suci Al-Quran turut disampaikan Datuk Mokhtar Rapuk, sebelum acara penyampaian cenderamata kepada guru menerusi program Santuni Guru.

Hazimah berkata, Syukbah Wanita MNH yang mempunyai 15 ahli jawatankuasa aktif melaksanakan pelbagai program keagamaan, pendidikan Al-Quran dan kebajikan sepanjang tahun.

Antaranya kelas membaca Al-Quran, kelas Fekah secara dalam talian, kelas Iqra’ dan asas Al-Quran, kelas asas tajwid serta Kuliah Dhuha.

Selain itu, Syukbah Wanita MNH turut melaksanakan Tabung Kasih yang memberi bantuan kepada 15 peserta kurang berkemampuan selama enam bulan, selain program Sehari 3 Muka, Tabung Subuh, Tabung Qurban serta tadarus Al-Quran secara bersemuka dan dalam talian.

Beliau berharap usaha berterusan itu dapat menyuburkan budaya mendekati dan menghayati Al-Quran, memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memupuk budaya menghargai jasa guru dalam kalangan masyarakat.