Peruntukan Tambahan RM1 Juta Setiap Parlimen Terus Kepada Rakyat — PM

Peruntukan Tambahan RM1 Juta Setiap Parlimen Terus Kepada Rakyat — PM

0
SHARE

AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan mengumumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara bagi menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan rakyat secara terus di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyaluran dana berkenaan tidak akan melalui Ahli Parlimen, sebaliknya disalurkan terus menerusi agensi kerajaan yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing.

“Saya nak umumkan, untuk setiap kawasan Parlimen, langsung kepada rakyat, tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR memberi bayangan positif berhubung cadangan menaikkan kadar kuota liter subsidi RON95 serta bantuan diesel bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, kerajaan bersetuju untuk meneliti cadangan berkenaan selepas ia diusulkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Naib Presiden PKR, Roland Engan sepanjang perbahasan kongres berlangsung.

“Saya setuju dan saya akan umumkan kadar yang sepatutnya kemudian,” jelas beliau.

Mengulas isu kerenah birokrasi, Perdana Menteri mengakui kelemahan jentera pentadbiran yang menyukarkan golongan usahawan dan berikrar akan memudah cara pelaksanaan pelbagai dasar termasuk sistem e-Invoice serta sektor perniagaan dalam talian (e-commerce).

Selain itu, Anwar turut menyentuh kebajikan pekerja gig dan memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti semula keberkesanan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) agar benar-benar memenuhi tuntutan serta aspirasi anak muda.