KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui bekalan doktor yang memasuki latihan siswazah (housemanship) menyusut hampir 50 peratus, daripada lebih 6,000 pada 2018 kepada sekitar 3,000 sejak dua tahun kebelakangan ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan itu merupakan antara cabaran sumber manusia yang sedang dihadapi kementeriannya ketika menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan.
“Semua perlu tahu bahawa terdapat pengurangan hampir 50 peratus dari segi bekalan. Pada penggal pertama saya pada 2018, saya menerima lebih 6,000 doktor yang memasuki latihan siswazah.
“Sekarang, saya hanya mempunyai sekitar 3,000 sejak dua tahun ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah Bilangan 1 Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai isu kekurangan doktor, termasuk laporan mengenai ribuan kekosongan membabitkan tenaga berkenaan.
Dzulkefly turut menyentuh kekurangan tenaga jururawat yang menurutnya melebihi 10,000, namun tidak dapat memastikan jumlah kekurangan Pegawai Perubatan (MO).
Menurutnya, isu sumber manusia merupakan masalah legasi yang memerlukan penyelesaian termasuk dari aspek pengagihan dan penempatan tenaga kesihatan.
Katanya, satu jawatankuasa rentas kementerian sudah diwujudkan bagi menangani perkara berkenaan, manakala Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut memberikan mandat kepada KKM untuk menguruskan agihan skim perkhidmatan khususnya membabitkan doktor dan jururawat.
“Sekarang kita diberikan mandat untuk mengurus sendiri secara langsung oleh KKM. Jadi, kita dapat mengurangkan birokrasi yang sebelum ini kita alami dalam urusan penempatan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM turut memberi perhatian terhadap isu ketidakseimbangan agihan pakar, termasuk keperluan pakar bedah kardiotorasik di Sabah.
Beliau berkata, kementerian menjangkakan beberapa lagi doktor yang sedang mengikuti latihan kepakaran akan menamatkan latihan sebelum menjalani Supervised Work Experience (SWE) dan seterusnya diwartakan sebagai pakar sepenuhnya.
Perancangan itu, katanya, penting bagi memastikan Pusat Jantung Sabah mempunyai jumlah pakar bedah kardiotorasik yang mencukupi apabila pusat berkenaan beroperasi kelak.
“Apabila tiba masa operasi Pusat Jantung Sabah, saya yakin kita dapat merancang dengan baik dan lebih awal. Kita berharap beberapa lagi yang sedang dalam latihan akan menamatkan latihan dan memasuki Supervised Work Experience sebelum diwartakan menjadi pakar sepenuhnya.
“Insya-Allah, pada ketika itu kita akan memastikan jumlah pakar bedah kardiotorasik di Pusat Jantung Sabah dapat ditingkatkan,” katanya.






