BANDAR SERI BEGAWAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Darussalam Ke-27 (ALC-27) di Istana Nurul Iman, di sini, pada Sabtu.
Hajiji turut menghadiri mesyuarat pra-majlis ALC-27 di Hotel Empire yang dipengerusikan Anwar pada Jumaat.
Turut bersama Ketua Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mengiringi Hajiji dari Sabah ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; dan Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri, Datuk Awang Shahminan Sahari.
Selepas ALC-27, pertemuan empat mata diadakan antara Anwar dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Muiz’zaddin Wad’daulah.
Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan instrumen dua hala turut ditandatangani, diikuti jamuan tengah hari rasmi bagi meraikan Perdana Menteri.






