iPhone 18 Pro Rasmi Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia, Harga Bermula RM5,499

iPhone 18 Pro Rasmi Diperkenalkan Untuk Pasaran Malaysia, Harga Bermula RM5,499

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Apple secara rasmi memperkenalkan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max untuk pasaran Malaysia dengan harga masing-masing bermula RM5,499 dan RM5,999, manakala prapesan dibuka mulai jam 8 malam, Sabtu ini.

Bagi iPhone 18 Pro, model 256GB ditawarkan pada harga RM5,499, diikuti 512GB (RM6,499), 1TB (RM8,499) dan 2TB (RM11,499).

Sementara itu, iPhone 18 Pro Max pula dijual pada harga RM5,999 bagi 256GB, RM6,999 (512GB), RM8,999 (1TB) dan RM11,999 bagi kapasiti tertinggi 2TB.

Memetik WISER.MY, Apple turut menawarkan pelan bayaran bulanan tanpa faedah sehingga 24 bulan bagi pembelian model berkenaan.

Prapesan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max di Malaysia akan dibuka mulai jam 8 malam pada 12 September, sebelum jualan rasmi bermula Jumaat, 18 September.

Kedua-dua model ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Burgundy, Glacier, Silver dan Black.

Walaupun reka bentuknya kelihatan hampir sama dengan generasi iPhone 17 Pro, Apple membawa beberapa peningkatan ketara terutama pada kamera, prestasi, bateri dan keupayaan kecerdasan buatan (AI).

Antara pembaharuan utama ialah kamera utama 48MP Fusion dengan teknologi apertur boleh ubah atau variable aperture, sekali gus menjadi iPhone pertama menawarkan ciri berkenaan pada kamera utama.

Sistem itu menggunakan enam bilah yang membolehkan apertur berubah mengikut keadaan pencahayaan dan depth of field. Pengguna turut boleh memilih empat tetapan apertur secara manual menerusi aplikasi Camera.

Keupayaan rakaman video turut dipertingkatkan apabila kesan Cinematic boleh digunakan selepas rakaman bagi video sehingga 60fps, manakala mod Time-lapse kini menyokong resolusi 4K dan Dolby Vision HDR.

Apple turut memperkenalkan Apple Reference Image yang membolehkan pengguna membuktikan ketulenan foto yang dirakam menggunakan iPhone 18 Pro menerusi sensor baharu pada kamera utama.

Dari segi prestasi, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max dikuasakan cip A20 Pro yang dibina menggunakan proses 2 nanometer (nm), dengan lebar jalur memori 50 peratus lebih tinggi berbanding A19 Pro serta GPU tujuh teras yang sehingga 40 peratus lebih pantas.

Cip berkenaan turut dilengkapi Dual 16-core Neural Engine dengan keseluruhan 32 teras bagi menyokong pemprosesan AI pada peranti, fotografi berkomputer dan permainan yang lebih mencabar.

Prestasi turut dibantu sistem pengurusan haba menggunakan vapor chamber generasi baharu dengan kawasan permukaan tiga kali lebih besar berbanding sistem pada iPhone 17 Pro.

Bagi sambungan, kedua-dua model menggunakan cip N1 dengan sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6 dan Thread, selain modem selular C2 yang menawarkan muat naik lebih pantas dengan penggunaan tenaga 15 peratus lebih rendah berbanding C1X.

Untuk ketahanan bateri, model eSIM sahaja menawarkan sehingga 36 jam main balik video bagi iPhone 18 Pro dan sehingga 45 jam bagi iPhone 18 Pro Max.

iPhone 18 Pro juga mampu mencapai pengecasan 50 peratus dalam kira-kira 15 minit menggunakan sambungan berwayar atau sekitar 30 minit secara tanpa wayar.

Dynamic Island pula hadir dalam saiz lebih kecil dan mampu memaparkan sehingga tiga Live Activities serentak sambil mengekalkan fungsi Face ID.

Kedua-dua model menjalankan iOS 27 serta dilengkapi Apple Intelligence dan Siri AI versi beta yang direka untuk memahami konteks peribadi pengguna serta membantu mendapatkan maklumat merentasi mesej, e-mel dan foto.

Antara ciri AI lain ialah Spatial Reframing, Extend dan Clean Up yang dinaik taraf dalam aplikasi Photos, manakala Image Playground kini berupaya menghasilkan imej fotorealistik.