KEADILAN Sabah Buat Laporan Polis, Mahu Tindakan Undang-Undang Terhadap Noorazli

KEADILAN Sabah Buat Laporan Polis, Mahu Tindakan Undang-Undang Terhadap Noorazli

0
SHARE

KOTA KINABALU: KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, yang didakwa menyentuh agama Kristian secara tidak wajar pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Peto Galim berkata, pihak berkuasa berkaitan perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, langkah itu penting sebagai pengajaran supaya politik yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak berulang pada masa hadapan.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible atau Alkitab dengan cara yang tidak wajar.

“Perbuatan tersebut bukan sahaja kurang ajar dan miskin adab, malah langsung tidak sensitif terhadap masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peto berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan kematangan yang sepatutnya dimiliki seorang pemimpin dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai contoh kesombongan individu yang bercampur dengan politik perkauman dan agama secara keterlaluan sehingga menghakis rasa hormat terhadap penganut agama lain.

Katanya, penjelasan atau permohonan maaf hanya selepas menerima kecaman masyarakat tidak sepatutnya dijadikan kebiasaan.

“Bukan sudah terhantuk baru tengadah. Ingat, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya.

Peto menegaskan agama tidak boleh dijadikan bahan jenaka politik, manakala keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang dibina selama ini tidak seharusnya dipertaruhkan demi mendapatkan sorakan atau keuntungan politik sementara.

“Sehubungan itu, KEADILAN Sabah akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang wajar diambil supaya kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.