KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 41 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Preve dan Toyota Hilux berhampiran Kilang Big Food di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 9.35 malam.
“Seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer.
“Pasukan tiba pada jam 9.58 malam dan mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah Proton Preve serta Toyota Hilux,” katanya.
Beliau berkata, seorang lelaki yang berada di bahagian penumpang Proton Preve ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari kenderaan.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.22 malam.
Operasi diketuai PBK I Wilfred Sulai dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.






