TAMBUNAN: Kerajaan Persekutuan digesa tidak lagi melengahkan penyelesaian tuntutan hak 40 peratus Sabah yang disifatkan sebagai antara hak negeri yang perlu dikembalikan secara tuntas, kata Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor Peter Paut.
Beliau berkata, rakyat Sabah mahukan hak-hak negeri termasuk yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperjuangkan, selain meminta Ahli-Ahli Parlimen Sabah konsisten membangkitkan perkara berkenaan setiap kali Dewan Rakyat bersidang.
“Rakyat Sabah hari ini mahukan pembangunan dan kemajuan yang setara dengan negeri-negeri lain. Ramai pemimpin kita hari ini berpendapat yang sama dan Persekutuan seharusnya segera bertindak, bukan sekadar janji. Rakyat sudah semakin muak dengan alasan demi alasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Victor berkata dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Sabah diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tunduk kepada Kerajaan Persekutuan tidak menggambarkan pendekatan kerajaan negeri yang menurutnya mengutamakan hubungan baik antara kedua-dua pihak sambil kekal tegas dalam memperjuangkan kepentingan Sabah.
“Kerajaan Sabah mengamalkan toleransi dan terus menjaga hubungan baik antara kerajaan dengan kerajaan. Amalan berunding secara baik tetapi tegas dengan pendirian harus terus berjalan sehingga ada keputusan tuntas dalam suasana harmoni,” katanya.
Victor yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd berkata rakyat Sabah menginginkan penyelesaian terhadap tuntutan hak negeri, termasuk isu 40 peratus, sambil menegaskan beliau turut menyokong tuntutan supaya Kerajaan Persekutuan menjelaskan dan menyelesaikan perkara itu secara tuntas.






