Ketua Pegawai Operasi Energy Commission of Sabah (ECoS), Ir. Ts. Ridwan Saham berkata, empat kes membabitkan kecurian elektrik melalui sambungan haram di penempatan setinggan, manakala dua lagi melibatkan usikan pepasangan meter (KUPM) domestik.
Beliau berkata, lima kes diputuskan di Mahkamah Sesyen Sandakan pada 8 dan 9 Oktober lalu, manakala satu lagi di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
“Bagi kes sambungan haram, tiga individu dikenakan denda keseluruhan RM6,000 di Mahkamah Sesyen Sandakan, manakala seorang lagi didenda RM1,800 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
“Dua kes KUPM domestik pula melibatkan denda keseluruhan RM7,000 yang diputuskan di Mahkamah Sesyen Sandakan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Ridwan berkata, bagi kes sambungan haram, Hasmanisa Hari Pudin dan Mohd Noor Abdu Rasad masing-masing didenda RM2,500, manakala Amirah Latif dikenakan denda RM1,000 di Mahkamah Sesyen Sandakan.
Seorang lagi individu, Mardiana Asiri didenda RM1,800 di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Bagi kes usikan meter pula, Liew Vun Leong didenda RM6,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, manakala Chak Lee Tat dikenakan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda.
Kesemua enam individu telah menjelaskan denda masing-masing.
Menurut Ridwan, kegiatan kecurian elektrik di kawasan penempatan setinggan sekitar Sandakan dan Kota Kinabalu dikesan menerusi operasi bersepadu bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Pemeriksaan menemukan premis kediaman yang menerima bekalan elektrik secara terus daripada talian utama tanpa melalui meter yang sah, menyebabkan penggunaan elektrik tidak direkodkan sama sekali dan mengakibatkan kerugian kepada pihak pembekal iaitu SE,” katanya.
Beliau menjelaskan, kes usikan meter pula melibatkan pengguna berdaftar yang mengubah suai pendawaian atau komponen meter sehingga bacaan penggunaan elektrik menjadi lebih rendah daripada jumlah sebenar.
Katanya, kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 61(3)(a) dan 61(3)(e) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan denda antara RM1,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Ridwan menegaskan, ECoS akan meneruskan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kecurian elektrik serta memastikan pematuhan undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna di Sabah.






