KOTA KINABALU: Pesara guru di seluruh Sabah digesa menyertai Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) bagi memperkukuh kebajikan, perpaduan dan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat serta negeri ini.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ruddy Awah, berkata PMPS yang ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu menyediakan platform khusus untuk menghimpunkan pesara pendidik, sekali gus memastikan pengalaman, kepakaran dan sumbangan mereka terus dimanfaatkan selepas bersara.
Menurutnya, PMPS antara platform terbaik untuk mantan pendidik terus berhubung, berkongsi pengalaman dan menyumbang kepada masyarakat menerusi aktiviti kebajikan, pendidikan, kemasyarakatan serta pembangunan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat lapan wakil kepimpinan tertinggi PMPS yang diketuai Presidennya, Dr. Aslie Hj. Sahat, di pejabatnya di Kompleks Karamunsing, di sini.
Ruddy memuji inisiatif kepimpinan PMPS menubuhkan persatuan itu sebagai wadah menyatukan pesara pendidik di Sabah, selain membuka ruang kepada mereka meneruskan khidmat bakti walaupun sudah menamatkan perkhidmatan rasmi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai pesara guru menyertai PMPS dan menyarankan kepimpinannya mempergiat usaha meningkatkan keahlian serta memperluas jaringan persatuan ke seluruh daerah di Sabah.
“Pesara guru mempunyai pengalaman, ilmu dan kepakaran yang amat bernilai. Persaraan bukan bermakna berakhirnya khidmat kepada masyarakat. Sebaliknya, pengalaman yang dimiliki boleh terus dimanfaatkan untuk membimbing generasi muda, membantu komuniti dan menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan dalam PMPS membolehkan mantan pendidik membina jaringan persahabatan, mengeratkan silaturahim, berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta menyertai pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Selain itu, katanya, persatuan berkenaan berpotensi menjadi saluran untuk menyuarakan pandangan, keperluan dan kepentingan pesara pendidik secara lebih tersusun, di samping menggalakkan aktiviti sosial yang menyokong kesejahteraan golongan itu.
Ruddy berkata, beliau secara peribadi menyokong penubuhan PMPS kerana matlamatnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pesara guru, malah berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Sabah secara keseluruhan.
Beliau turut berharap kepimpinan PMPS, termasuk di peringkat akar umbi, terus memberikan kerjasama dan sokongan terhadap usaha pembangunan negeri yang dilaksanakan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, PMPS juga boleh menjadi rakan masyarakat yang konstruktif dengan menyelaraskan program dan inisiatifnya dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam aspek pembangunan modal insan, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berharap PMPS terus berkembang sebagai persatuan yang inklusif, aktif dan berwibawa, selain mampu menghimpunkan lebih ramai mantan pendidik tanpa mengira daerah tempat mereka pernah berkhidmat.






