KUDAT: Sebanyak lapan pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan jajaran sepanjang 179 kilometer dijangka dibuka secara berperingkat sebelum penghujung tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, pembukaan pakej berkenaan merupakan antara perkembangan terkini pelaksanaan projek itu yang kini giat diteruskan.
“Tidak lama lagi, sebenarnya lapan pakej sepanjang 179 kilometer dicadang akan dibuka secara berperingkat sebelum penghujung 2026,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan lancar.
Menurutnya, kerjasama antara kedua-dua pihak ketika ini berada pada tahap terbaik dalam usaha menangani pelbagai cabaran pelaksanaan projek berkenaan.
Joachim turut menjelaskan bahawa kemajuan keseluruhan projek Pan Borneo Sabah tidak boleh dinilai berdasarkan angka 11.4 peratus seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara semata-mata.
Katanya, angka berkenaan hanya merujuk kepada empat daripada keseluruhan 35 pakej yang telah siap dan diserahkan sepenuhnya, sedangkan beberapa pakej lain sudah mencatat kemajuan pembinaan sehingga 90 peratus.
“Walaupun angka 11.4 peratus itu betul, ia hanya mengukur pakej yang telah diserahkan sepenuhnya, iaitu empat daripada 35 pakej.
“Pakej lain juga menunjukkan kemajuan pembinaan, malah ada yang sudah mencapai 90 peratus,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menerima teguran Laporan Ketua Audit Negara berhubung kelemahan dan kekurangan pelaksanaan projek itu serta telah mengambil tindakan penambahbaikan bagi menangani isu yang dibangkitkan.
Menurutnya, antara cabaran utama pelaksanaan Pan Borneo Sabah ialah pengambilan tanah, keadaan muka bumi yang berbeza, masalah teknikal serta kelemahan sebahagian kontraktor.
Bagaimanapun, Joachim menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan secara berperingkat.






