Lebih RM10 Bilion Dibelanjakan Tapi Pan Borneo Masih Belum Siap, Rakyat Tidak...

Lebih RM10 Bilion Dibelanjakan Tapi Pan Borneo Masih Belum Siap, Rakyat Tidak Wajar Terus Tanggung Kelewatan – Jivean

0
SHARE

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak sepatutnya terus menanggung kesan kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah apabila lebih RM10 bilion dilaporkan sudah dibelanjakan, namun pembinaannya masih belum disiapkan sepenuhnya.

Setiausaha Pertubuhan Jaringan Profesional, M. Jivean Johan Wira berkata, berdasarkan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, sebanyak RM10.547 bilion atau 94.6 peratus daripada peruntukan dilaporkan telah dibelanjakan, sedangkan kemajuan fizikal Fasa 1A hanya sekitar 89 peratus.

Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pelaksanaan projek sepanjang 706 kilometer berkenaan yang kini disasarkan siap sepenuhnya menjelang 2030.

“Sampai bila rakyat Sabah perlu menanggung akibat kelemahan pelaksanaan projek pembangunan?

“Perkara ini bukan sekadar persoalan angka. Ia menyentuh soal integriti, akauntabiliti dan kecekapan pengurusan wang rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jivean berkata, laporan audit itu turut membangkitkan isu 57 Arahan Perubahan Kerja bernilai RM513.99 juta yang diluluskan melangkaui had kuasa kewangan pegawai berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik tindakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen memulakan prosiding siasatan pada 19 Oktober lalu dan menggesa supaya siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, telus serta bebas daripada kepentingan politik.

Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian, salah guna kuasa atau penyelewengan.

Beliau mengakui pelaksanaan projek berskala besar di Sabah berdepan pelbagai cabaran termasuk pengambilan tanah, pemindahan utiliti, keadaan geografi, cuaca dan perubahan model pelaksanaan projek.

Bagaimanapun, katanya, cabaran itu tidak seharusnya dijadikan alasan berpanjangan sehingga rakyat terpaksa menerima kelewatan sebagai perkara biasa.

“Yang paling merasai kesannya bukanlah mereka yang duduk di bilik mesyuarat, tetapi rakyat yang menggunakan jalan raya setiap hari,” katanya.

Menurutnya, kelewatan projek turut meningkatkan kos pengangkutan, penggunaan bahan api dan logistik, selain menjejaskan produktiviti serta keselamatan pengguna jalan raya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada ketelusan status kemajuan setiap pakej pembinaan, keselamatan laluan sementara serta penilaian prestasi kontraktor dan penyelarasan antara agensi.

Mengulas perancangan pembukaan lapan pakej sepanjang 177 kilometer secara berperingkat sebelum penghujung 2026, Jivean berkata, perkembangan itu diharap dapat memberi kelegaan kepada rakyat, namun pencapaian sebenar perlu dinilai berdasarkan laluan yang selamat dan boleh digunakan.

“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Sabah hanya menuntut hak untuk menikmati pembangunan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan disiapkan dalam tempoh yang munasabah.

“Ukuran sebenar ialah apabila rakyat Sabah dapat bergerak dengan selamat, menjimatkan masa perjalanan dan menikmati limpahan ekonomi daripada jaringan jalan raya yang lebih baik,” katanya.