Masiung Cadang Sabah Jadi Hab Pertama Pembangunan Tenaga Nuklear Negara

Masiung Cadang Sabah Jadi Hab Pertama Pembangunan Tenaga Nuklear Negara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi hab pertama pembangunan tenaga nuklear negara menerusi cadangan pembinaan Loji Janakuasa Nuklear Terapung (FNPP) bagi menangani keperluan bekalan elektrik yang semakin meningkat serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, sudah tiba masanya Malaysia meneroka pembangunan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2030.

Beliau berkata, Sabah bersedia menawarkan cadangan berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua kerajaan, termasuk melalui rundingan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, cadangan menggunakan teknologi Floating Nuclear Power Plant (FNPP) dilihat lebih fleksibel dari segi kos dan tempoh pembinaan, selain sesuai dengan keadaan geografi Sabah yang mempunyai kawasan pesisir pantai yang luas.

“Keupayaan bekalan tenaga elektrik di negeri ini semakin meruncing dan masih jauh daripada mengimbangi kemajuan utiliti di Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata Sabah dan Semenanjung merupakan lokasi paling praktikal untuk pembangunan loji tenaga nuklear pada dekad akan datang sekiranya negara bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Beliau berkata, keperluan itu tidak begitu mendesak di Sarawak berikutan keupayaan tenaga hidroelektrik Bakun yang menyumbang kira-kira 70 peratus bekalan elektrik di wilayah berkenaan.

Masiung berkata, kebergantungan berterusan kepada bahan api fosil seperti arang batu, gas asli dan diesel bukan lagi pilihan mampan, lebih-lebih lagi apabila sebahagian keperluan bahan api negara masih bergantung kepada import.

Katanya, ketidaktentuan geopolitik global, termasuk pergolakan di Selat Hormuz, turut memperlihatkan kepentingan negara merangka strategi keselamatan tenaga yang lebih kukuh bagi menghadapi risiko gangguan bekalan dan kenaikan kos.

“BBC melihat kerajaan Sabah harus bersedia menghadapi lonjakan permintaan tenaga elektrik menjelang 2031 serta mengurangkan kebergantungan kepada gas asli dan diesel dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

“Penggunaan loji FNPP berpotensi menawarkan kos yang lebih rendah dan risiko pembinaan yang lebih terkawal berbanding loji nuklear konvensional di daratan,” katanya.

Wakil rakyat Kuamut itu berkata, pembangunan tenaga nuklear juga berpotensi menjadi antara penyelesaian strategik negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam skala besar.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan pembangunan FNPP di Sabah dapat dibawa ke peringkat perbincangan dan diterjemahkan menerusi rundingan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.