PH Sabah Mahu Baki RM900 Juta Dibayar Sebelum Pembentangan Belanjawan 2027

PH Sabah Mahu Baki RM900 Juta Dibayar Sebelum Pembentangan Belanjawan 2027

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembayaran baki RM900 juta daripada jumlah RM1.5 bilion bayaran interim berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebelum pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada Disember ini.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM600 juta sudah disalurkan kepada Kerajaan Negeri, manakala baki RM900 juta kini berada pada peringkat akhir proses teknikal di peringkat Persekutuan.

Katanya, pembayaran tersebut perlu disegerakan supaya peruntukan berkenaan dapat dimasukkan sebagai hasil negeri bagi membiayai pelbagai program dan pembangunan untuk kepentingan rakyat Sabah tahun depan.

“Yang telah diwartakan sebelum ini RM600 juta, itu sudah dibayar. Tetapi sekarang ini sedang dalam proses pewartaan sebanyak RM900 juta. Jadi totalnya RM1.5 bilion.

“Jadi kita mahu supaya pembayaran perlu dibuat sebelum sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Disember ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah, di sini, pada Jumaat.

Mustapha berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Merican bagi menyampaikan hasrat supaya pembayaran berkenaan dapat diselesaikan segera.

Menurutnya, pewartaan baki RM900 juta itu dimaklumkan sudah ditandatangani Yang di-Pertuan Agong dan kini hanya menunggu penyelesaian proses teknikal sebelum dibentangkan untuk pemakluman di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Cuma dari segi pewartaan, saya dimaklumkan sudah ditandatangani oleh Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan sekarang ini hanya proses teknikal.

“Selepas itu akan diletakkan di meja ahli-ahli Parlimen untuk pemakluman. Tidak akan ada perbahasan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mustapha berkata PH Sabah turut mencadangkan supaya bayaran interim berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri dilaksanakan secara progresif mulai tahun depan, berbanding jumlah tetap untuk tempoh lima tahun.

Katanya, cadangan itu membolehkan jumlah bayaran meningkat setiap tahun berdasarkan rundingan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sehingga mencapai nilai sebenar tuntutan 40 peratus berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jumlah selebihnya masih dalam proses rundingan, termasuk mengambil kira kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.