KUCHING, SARAWAK – Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas mengenai perjumpaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur.
Media cuba mendapatkan reaksi beliau semasa keluar dari dewan selepas bertemu dengan Kelab Penyokong GPS.
Namun, Premier Sarawak itu ‘mengunci mulut’ dari memberi sebarang kenyataan berhubung pertemuan antara PH dan BN yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Abang Johari dalam respons ringkasnya, menyerahkan perkara itu kepada Kuala Lumpur untuk menentukan.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut sebelum meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ketika diekori puluhan media nasional dan tempatan.
Terdahulu dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti PBB pada Ahad, Abang Johari menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional, PAS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Namun pagi tadi, pengerusi PH mengadakan perjumpaan bersama pimpinan parti lain untuk berbincang bagi membentuk gabungan baharu.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataannya optimis dapat membentuk kerajaan persekutuan yang bersifat inklusif menerusi sokongan BN.
Bagaimanapun keputusan tersebut belum dimuktamadkan.