AIM Berjaya Bantu Masyarakat Keluar Dari Kemiskinan Melalui Gerakan Keusahawanan

AIM Berjaya Bantu Masyarakat Keluar Dari Kemiskinan Melalui Gerakan Keusahawanan

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar Pelancaran Produk Sambal Mek Ngoh ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KUALA TERENGGANU, TERENGGANU – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) antara agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui gerakan keusahawanan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, AIM telah berjaya membantu lebih 322,000 usahawan wanita dan ibu-ibu di seluruh negara setakat hari ini.

“Saya percaya ini telah menunjukkan mandat dan tanggungjawab AIM untuk membangunkan usahawan di kalangan wanita, seterusnya mengeluarkan mereka daripada insiden kemiskinan.

“Saya berharap kesemua sahabat usahawan AIM ini akan menjadi inspirasi kepada lebih 3 juta rakyat Malaysia untuk berusahaa sebaik mungkin keluar daripada kesusahan dan kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Produk Sambal Mek Ngoh yang diusahakan oleh Sahabat AIM Haslinda Wahab, di sini, semalam.

Ewon berkata, kejayaan sahabat AIM dalam perniagaan masing-masing bukan setakat menjadi sumber inspirasi kepada usahawan lain tetapi turut membantu menyediakan peluang pekerjaan.

“Saya sangat berbangga kerana sebaik saya di lanti mengetuai kementerian ini, AIM diletakkan di bawah tanggungjawab ataupun dijadikan sebagai agensi kementerian.

“Ini kerana, saya melihat banyak inspirasi daripada kisah kejayaan usahawan-usahawan AIM yang boleh dijadikan sebagai motivasi kepada rakyat Malaysia untuk turut sama berjaya,” katanya.

Beliau berkata, ikrar sahabat AIM setiap kali ada majlis rasmi ternyata berjaya meresap ke dalam jiwa dan berjaya diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Dari segi ikrarnya sahaja, ikrar untuk keluar daripada kemiskinan, ikrar untuk membantu rakan-rakan lain semasa susah, ikrar untuk memastikan tadbir urus pinjaman itu dibayar dengan baik supaya pungutan semula pinjaman boleh digunakan untuk membantu yang lain.

“Sebab itulah, di peringkat kementerian dalam satu program untuk kita mendukung wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan kemiskinan, saudara Shamir (Pengarah Urusan AIM) telah dilantik mengetuai program khas itu yang bermula di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, program khas Ehsan kementerian itu akan dimulakan di Sabah untuk membantu mengeluarkan ibu-ibu atau keluarga daripada belenggu kemiskinan seterusnya menjadikan mereka sebagai inspirasi kepada usahawan-usahawan lain.

“Saya berpendapat, pemilihan saudara Shamir itu paling wajar selepas mendengar dan meneliti apa yang beliau dan pihak pengurusan AIM usahakan dalam membawa ibu-ibu keluar daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata program khas itu akan menjadi respon kepada wawasan besar Perdana Menteri yang ingin melihat tidak ada rakyat Malaysia yang tergolong dalam kategori miskin.