MANAMA: AirAsia X (AAX) memperkukuh strategi peluasan globalnya dengan menjadikan Bahrain sebagai hab strategik baharu bagi menghubungkan Asia, Timur Tengah, Eropah dan Australia, sekali gus menandakan langkah penting dalam pertumbuhan antarabangsa syarikat penerbangan itu.
Langkah itu susulan Surat Niat yang dimeterai antara Capital A Berhad dan Kementerian Pengangkutan serta Telekomunikasi Bahrain pada 3 November 2025 bagi membangunkan Bahrain sebagai hab AAX di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Bo Lingam berkata, pembangunan itu selaras pelan pertumbuhan lima tahun syarikat yang disokong tempahan 374 pesawat, dengan fokus kepada peluasan armada secara berdisiplin serta pengukuhan rangkaian hab global.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A merangkap Penasihat AAX, Tony Fernandes berkata, kerjasama itu turut mengukuhkan ekosistem penerbangan Capital A termasuk operasi kargo dan penyelenggaraan, selain membantu meletakkan Bahrain sebagai hab logistik utama serantau.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain, Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa, berkata pelaburan itu akan mengukuhkan kedudukan Bahrain sebagai pintu masuk strategik yang menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang sektor pelancongan dan logistik.
Sebagai sebahagian strategi pertumbuhan, AAX akan terus memperluas operasi jarak jauh, menaik taraf armada serta memperkukuh inisiatif digital dan kerjasama strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan global sambil mengekalkan tawaran perjalanan mampu milik.






