Aktiviti Riadah Kampung Mampu Semai Persefahaman

Aktiviti Riadah Kampung Mampu Semai Persefahaman

0
SHARE
Pbs
Para belia, kanak-kanak serta penduduk kampung mengabadikan gambar bersama Rizkam dan kepimpinan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli ( Sumber Foto: Ihsan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli )

TAMPARULI, SABAH – Aktiviti riadah di kampung mampu semai persefahaman dalam kalangan penduduk.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berkata, penganjuran aktiviti seperti sukan mahu pun riadah di kampung dapat memastikan persefahaman dalam kalangan masyarakatnya sentiasa wujud.

“Tidak kisahlah apa jenis sukan sekali pun, asalkan program itu mampu mengumpul penduduk kampung, atau lebih baik jika dapat menarik minat komuniti dari kawasan sekitarnya,” kata Rizkam.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Pertandingan Badminton Tertutup Kampung Gayaratau, dekat sini pada Khamis.

Turut hadir Bendahari Pemuda Bahagian, Hendry Jani, dan dua AJK Pemuda Bahagian, Wellgoh Giri dan Jastin Sualan.

Beliau yang juga Pemaju Mukim di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, berkata, selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim penduduk, acara seumpama itu juga boleh dijadikan penanda aras kepimpinan belia mahu pun badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sama ada aktif menyantuni penduduk atau tidak.

“Namun saya percaya di kampung lain juga ada mengadakan program-program mereka sendiri, yang mana patut diteruskan demi mendekati hati penduduk dan menjadi contoh kepada masyarakat di luar sana,” katanya.

Untuk rekod, Pertandingan Akhir Sukan Badminton Kampung Gayaratau itu diadakan sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September nanti.

Dalam pada itu, wakil penduduk, Jastin Sualan mengucapkan terima kasih kepada pihak Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim atas sumbangan bagi melicinkan perjalanan program tersebut.

Terdahulu sebelum program, Rizkam menyampaikan sumbangan ikhlas Jahid kepada seorang penduduk tergolong Orang Kelainan Upaya (OKU), Evelyn Supin, 38 tahun, ketika mengadakan ziarah di rumah wanita tersebut.