KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam membeli alat mengira bacaan oksigen ‘Pulse Oximeter’ terutamanya di atas talian (online) sekiranya terlalu murah.
Umum mengetahui bahawa penggunaan ‘Pulse Oximeter’ ketika ini yang mana penularan jangkitan COVID-19 membimbangkan sangat penting untuk memantau tahap kesihatan diri secara harian.
Namun, apabila alat tersebut mula menjadi bualan ramai dan tengah hangat untuk dimiliki, ramai juga di antara kita yang tertipu dengan penjualan ‘Pulse Oximeter’ tiruan (fake) yang tidak berfungsi dengan betul.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Twitter (Sayidah Napisah) yang dikenali sebagai @SayidahLOvechOc, dia menyeru orang ramai untuk tidak membeli Oximeter APO-20C dan APO-20A di aplikasi Shopee, Lazada dan sebagainya.
Menurut beliau, rata-rata penjual atas talian tersebut kebanyakannya menyalahgunakan kuasa MDA untuk menjual ‘Pulse Oximeter’ tiruan.
“Memang oximeter 20c 20a lulus MDA/KKm tapi tengok dekat web MDA brand aurelius care, establish name careforce medicare supplies sdn bhd.. tiba-tiba seller tulis no brand. Rupa-rupanya betul lah seller tipu je!” menurut ciapan pengguna Twitter berkenaan yang telah tertipu menerima barangan tiruan.

Pihak Medicare juga bagaimanapun sudah mengeluarkan notis penafian di laman web rasmi berkenaan kes tersebut dan memaklumkan bahawa pihak mereka sudah menerima banyak aduan berkenaan penyalahgunaan produk dan Perakuan MDA syarikatnya.
Tambah MDA, produk APO-20A dan APO-20C tidak dipasarkan oleh mana-mana agen selain syarikat rasmi itu sendiri atau di farmasi.





