Aliff Aziz Ceraikan Bella Astillah Talak Satu

Aliff Aziz Ceraikan Bella Astillah Talak Satu

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga antara penyanyi Aliff Aziz dan isterinya Bella Astillah akhirnya bernoktah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, 33, melafazkan cerai talak satu pada pukul 1.11 petang di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Bella mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Hakim Syarie Wan Mohd. Najib kemudian mensabitkan berlaku perceraian dan memerintahkan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 29, menjalani tempoh idah selama tiga bulan dan mendaftarkan perceraian mereka.

Mahkamah Rendah Syariah di sini dimaklumkan tiada ruang untuk Bella dan Aliff untuk berdamai dalam kemelut rumah tangga mereka susulan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu.

Ini kerana Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang telah dibentangkan di mahkamah mengesahkan berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) pada pasangan itu dan kewujudan pihak ketiga.

Pada 11 Mac lalu, Bella telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Aliff secara `fast track’ atas antaranya alasan sudah tiada lagi persefahaman dan mawaddah (cinta dan kasih sayang)

Namun, pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikan Bella atas alasan masih sayang terhadap isterinya.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Pasangan ini pernah mengambil keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019 selepas Aliff beberapa kali kantoi berlaku curang namun kembali rujuk ketika Bella dalam tempoh idah.