Anak Gagal Bayar Hutang ‘Along’, Ibu Bapa Yang Hidup Dalam Ketakutan

Anak Gagal Bayar Hutang ‘Along’, Ibu Bapa Yang Hidup Dalam Ketakutan

0
SHARE

JOHOR BAHRU – Pinjam RM1,000, namun hanya terima RM350 dan kini perlu membayar RM12,000 kepada ‘ceti haram’ atau ‘along’, dakwa sepasang suami isteri yang sekarang hidup dalam ketakutan gara-gara perbuatan si anak gagal menjelaskan hutang itu.

Memetik laporan Bernama, Chong Kok Yeong, 55, dan isteri Teoh Lee Hong, 56, mendakwa rumah mereka di Taman Pulai Utama, Skudai dibaling bom molotov pada 9 Feb lalu sehingga menyebabkan beberapa bahagian di halaman rumah terbakar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, saya percaya mereka individu sama yang menyimbah cat merah dan hitam pada 7.30 malam, 8 Feb lalu,” katanya pada sidang media di pejabat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor, di sini hari ini.

“Anak lelaki saya ini gemar bermain judi dalam talian dan telah meminjam RM1,000 pada awal Februari lalu, namun hanya terima RM350 dan kini along itu minta bayaran balik RM12,000,” katanya, menambah turut menerima surat ugutan rumahnya akan dibakar jika hutang tersebut tidak dibayar.

Chong berkata dia juga telah membuat lima laporan polis, mengharapkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima kesemua laporan polis berkenaan.