ANWAR SAH DILANTIK PERDANA MENTERI KE-10

ANWAR SAH DILANTIK PERDANA MENTERI KE-10

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang melanda sejak beberapa hari ini telah tamat apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sah dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, pelantikan Anwar diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas sesi perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan terbabit.

Kenyataan terbabit turut menyebut, pada sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu bahawa proses pelantikan Perdana Menteri baharu adalah susulan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

“Perbicangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkah baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat…

“Proses di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka membuat keputusan melantik seorang Ahli Dewan Rakyat pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan,” katanya.