Bajet 2023 Berpandu Responsif Bertanggungjawab, Reformis Hadapi Cabaran Global

Bajet 2023 Berpandu Responsif Bertanggungjawab, Reformis Hadapi Cabaran Global

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 akan dipandu berdasarkan agenda 3R (Responsive – Responsible – Reformist) atau disebut sebagai responsif, bertanggungjawab, reformis bagi mendepani setiap cabaran global.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen hari ini berkata bajet pada tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ yang membabitkan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion.

Katanya, tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari yang mengetat dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah.

“Pada Januari 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi dunia 2023 pada kadar 3.8 peratus. Namun, pada Julai lalu, IMF telah menyemak semula unjuran 2023 kepada 2.9 peratus…

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar ini…

“Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara 4 hingga 5 peratus,” katanya.

Susulan itu, Zafrul menjelaskan Bajet 2023 akan segera responsif kepada sebarang cabaran dan melalui bantuan yang komprehensif kepada Keluarga Malaysia, bukansekadar kumpulan B40 tetapi juga M40, wanita, belia, OKU dan semua segmen masyarakat.

“Bajet 2023 bertanggungjawab untuk mengimbangi dasar fiskal yang mengembang dengan melaksanakan pembaharuan fiskal ke arah kemampanan kewangan Kerajaan dalam jangka panjang…

“Bajet ini bertanggungjawab membina daya tahan negara bagi mendepani sebarang krisis yang mendatang.

“Bajet 2023 ialah reformis yang mengambil peluang merubah landskap pembangunan negara agar lebih inklusif dan mampan di samping menyokong industri negara yang kukuh melalui pelaburan strategik,” katanya.