KOTA KINABALU, SABAH – Generasi anak kecil warga Ibu Pejabat Kontingen Polis (IPK) Sabah kini boleh mengambil manfaat dari bangunan Tabika Kemas Al-Ghazali yang baru siap dinaik taraf di Kepayan sini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata sebelum ini keusangan bangunan kayu lama yang menempatkan empat (4) buah kelas membahayakan keselamatan pelajar dengan lantai yang reput.
“Manakan tidak, tabika ini telah beroperasi lebih kurang 4 dekat yang lalu di mana hampir 90 peratus kanak-kanak yang bersekolah sini terdiri daripada anak-anak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Sabah mahupun Ibu Pejabat Polis Daerah yang berhampiran,” katanya dalam ucapan perasmian di sini, hari ini.
Beliau merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penempatan semula sekolah itu bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, selamat dan selesa untuk guru serta murid.
Katanya perancangan tersebut tercetus dari hasil tinjaun dan lawatan bersama isteri, Datuk Fadziah Abdul Hamid selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah dan mengenal pasti kawasan yang lebih strategik demi kepentingan semua pihak.
“Pemilihan nama Al-Ghazali adalah merujuk kepada Imam Al-Ghazali, seorang ilmuan islam hebat yang mana hasil karyanya masih dibaca dan dikaji di timur dan di barat sehingga kini.
“Malah, beliau juga merupakan seorang wali Allah namun lebih dikenali sebagai tokoh pemikir Islam kurun ke-enam.
“Antara kata-kata hikmah beliau yang penuh bermakna dan digunakan hingga kini ialah: hiduplah kamu bersama manusia sebagaimana pohon yang berbuah, mereka melemparinya dengan batu tetapi ia membalasnya dengan buah,” katanya.
Kerja-kerja pembinaan bermula sejak Mac 2021 dan selesai pada Jun 2021 dengan kos sebanyak RM 170 ribu.
Menurut Hazani kos ini ditanggung sepenuhnya dari sumbangan awam termasuk sumbangan peribadi.
“Dengan kebijaksanaan Tuan Mohd Azmi Omar, Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Sabah telah mengangkat cadangan serta kertas kerja ke pengetahuan pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah dan syukur Alhamdulillah, ia akhirnya dipersetujui,” kata beliau lagi.
Tabika tersebut pada mulanya dikelola sepenuhnya oleh Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16 untuk anak-anak polis malah, guru-guru tadika juga terdiri dari kalangan anggota polis yang bertugas.
Namun, pada tahun 1985 sejajar dengan hasrat kerajaan dalam usaha membasmi buta huruf di kalangan rakyat, KEMAS mengambil alih pentadbiran urus sehingga kini.





