Banyak Inisiatif Diluluskan Demi Kebaikan Sabah, Sekarang Tunggu PRN dan Terpulang Kepada...

Banyak Inisiatif Diluluskan Demi Kebaikan Sabah, Sekarang Tunggu PRN dan Terpulang Kepada Rakyat – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa semua Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini telahpun diluluskan, termasuk RUU berkaitan karbon, hutan, tanah serta peruntukan tambahan bagi pengurusan dan pembangunan kerajaan negeri sehingga hujung tahun.

“Semua ini adalah untuk kebaikan negeri Sabah. Kita mahu pastikan pengurusan sumber seperti karbon, hutan dan tanah dilakukan secara lestari dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada media sejurus selesai persidangan DUN pada Selasa.

Hajiji menyifatkan sidang kali ini sebagai berjaya, di mana kerajaan negeri dapat membentangkan pelbagai inisiatif dan pencapaian yang telah dilaksanakan sepanjang hampir lima tahun mentadbir Sabah.

“Sekarang kita hanya menunggu masa untuk mengadakan pilihan raya negeri. Kita sudah buat yang terbaik, walaupun masih ada banyak yang perlu dilaksanakan,” jelas beliau.

Antara isu utama yang turut disentuh Hajiji adalah masalah bekalan air yang diwarisi sejak sekian lama. Menurut beliau, kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan projek menaik taraf loji-loji rawatan air demi memperbaiki sistem bekalan di Sabah.

Selain itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menekankan pelbagai inisiatif kerajaan yang menurutnya tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu, termasuk peruntukan besar dalam bidang modal insan, bantuan kepada pelajar, kebajikan rakyat miskin dan mereka yang tidak mempunyai rumah.

“Sekarang, terpulang kepada rakyat untuk memberi sekali lagi peluang kepada kerajaan GRS yang ada hari ini,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ini adalah sidang terakhir sebelum pembubaran DUN, Hajiji hanya memberi bayangan, “Kira-kira begitulah itu.”

Namun begitu, beliau enggan mendedahkan tarikh sebenar Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya berseloroh bahawa beliau masih mencari tarikh terbaik dalam mimpi.

“Sabar, tidak lama lagi. Kita sedang mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dan akan muktamadkan sebelum DUN dibubar,” katanya, sambil mengingatkan media agar tidak membuat spekulasi tarikh.

Beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan gabungan GRS dan PH masih kekal sebagai asas utama pentadbiran negeri buat masa ini.