KOTA KINABALU, SABAH – Seorang bapa ditahan selepas mengugut seorang guru yang menghalang anaknya memasuki dewan peperiksaan SPM kerana didapati menghisap rokok di sebuah sekolah menengah di Kepayan Ridge, sini, pada Selasa.
Polis menahan lelaki berusia 49 tahun itu berikutan kejadian pukul sembilan pagi yang mana video insiden menjadi tular di media sosial.
Difahamkan, seorang guru berusia 40 tahun mendapati pelajar berusia 17 tahun itu merokok di dalam tandas yang kemudian menghubungi bapanya.
Setelah tiba ke sekolah, bapanya kemudian menyerang guru berkenaan kerana percaya bahawa guru itu telah memukul anaknya.
“Guru itu menjelaskan apa yang berlaku tetapi lelaki itu enggan menerimanya dan mula menolak serta mencekiknya guru berkenaan sambil mengeluarkan kata-kata kesat di kawasan sekolah,” kata sumber.
Keadaan menjadi reda dengan bantuan beberapa guru dan pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, manakala berkata pelajar terbabit masih dibenarkan mengambil SPM walaupun sudah dibuang sekolah selepas menerima amaran sebanyak dua kali pada 15 Disember tahun lalu.
Beliau mengesahkan bahawa pelajar itu ada merokok di dalam tandas sekolah yang jelas melanggar peraturan.
“Calon SPM perlu mematuhi peraturan sekolah selain menjaga tingkah laku agar tidak mengganggu perjalanan peperiksaan.
“Jabatan Pendidikan sentiasa komited dalam memastikan peperiksaan awam berjalan lancar dan semua calon SPM berada dalam keadaan tenang dan selesa ketika menjawab soalan peperiksaan,” katanya.
Walau bagaimanapun, pelajar itu kemudian dibenarkan masuk ke dalam dewan dan meneruskan menduduki SPM.