KUALA LUMPUR – Bina bilik VIP khas dilengkapi kemudahan komputer dan sofa empuk bagi membolehkan pelanggan selesa ketika bertaruh judi dalam talian.
Memetik laporan akhbar Harian Metro, bilik tersebut menyediakan makanan lazat turut dihidangkan secara percuma selain pelbagai cabutan bertuah diatur bagi menarik lebih ramai pelanggan mengunjungi dua pusat judi di Jalan Chemur dan Jalan Setiawan, dekat Bulatan Pahang, di sini.
Bagaimanapun premis judi yang berselindung di sebalik papan tanda pusat hiburan keluarga itu diserbu pihak berkuasa melalui operasi Op BAH jam 12.30 tengah malam semalam.
Ketua Penyelaras Pasukan Khas Banteras Operasi Haram (Op BAH), Azman Mahmood berkata, pusat judi haram mewah di Jalan Setiawan baru mula beroperasi sejak dua minggu lalu dan dibuka kepada orang ramai dengan pelbagai tawaran menarik.
“Ini termasuk menyediakan makan dan minum secara percuma selain mempunyai bilik persendirian khas untuk kaki judi VIP.
“Ketika serbuan dilakukan, beberapa pemain judi dikesan asyik mencuba nasib untuk mendapatkan keuntungan lumayan.
“Bagaimanapun, usaha mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa gagal selepas semua pintu dikawal anggota penguat kuasa,” katanya.
Menurutnya, pihaknya merampas lebih 100 peralatan judi komputer pelbagai model termasuk mesin simulator untuk aktiviti permainan judi bernilai lebih RM345,000.
“Dalam serbuan itu juga, pihak kami mengesan peralatan mesin judi yang ditandakan dengan duit RM1 menggunakan nombor siri wang tunai berkenaan sebagai identiti pengenalannya.
“Penggunaan wang kertas RM1 ini dipercaya kaedah digunakan oleh pembekal mesin judi tempatan.
“Kedua-dua premis judi yang diserbu berselindung di sebalik premis hiburan keluarga ataupun kafe siber untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, semalam.
Menurutnya, usaha membanteras aktiviti perjudian dalam talian dipergiatkan lagi dalam usaha membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa.
“Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak. Malah serbuan pada malam ini juga sebenarnya adalah hasil daripada aduan diterima seorang individu di Perak.
“Berdasarkan maklumat itu, kami terus melakukan risikan dan malam ini terbukti dakwaan itu benar,” katanya.
Sementara itu, operasi turut diteruskan dengan menyerbu sebuah premis hiburan di Jalan P Ramlee pada malam semalam.
Hasil serbuan itu, pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang turut serta dalam operasi berkenaan menahan empat individu beragama Islam dalam keadaan mabuk.
Keempat-empat individu termasuk dua remaja wanita itu ditahan mengikut Seksyen 19 Akta 559; Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.