BN Perhalusi Cadangan Pembentukan “Grand Coalition” Dengan PH, GRS – Zahid Hamidi

BN Perhalusi Cadangan Pembentukan “Grand Coalition” Dengan PH, GRS – Zahid Hamidi

0
SHARE

KEPALA BATAS: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pihaknya akan memperhalusi cadangan pembentukan gagasan mega atau grand coalition dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Jelas beliau, langkah itu termasuk menyantuni sebarang perbezaan antara ketiga-tiga gabungan berkenaan.

“Terutamanya untuk memastikan kerusi-kerusi yang akan ditandingi tidak bertindih antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemasyhuran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini, pada Isnin, memetik laporan Bernama.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH ketika berada di Tawau berkata, kerjasama antara PH, BN dan GRS pada PRN Sabah amat penting bagi menjamin kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.

Setakat ini, menurut Anwar kerjasama antara PH Sabah, BN Sabah dan GRS masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan, manakala kenyataan berhubung kesepakatan PH, BN Sabah sebelum ini hanya di peringkat kedua-dua parti, belum melibatkan GRS.

Sabtu lepas, Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan bersama mengesahkan kesepakatan PH dan BN untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah.

Susulan itu, Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk GRS bertanding solo jika PH dan BN meneruskan kesepakatan untuk bekerjasama pada PRN akan datang.

Hajiji dengan tegas mengulangi pendiriannya yang mahu GRS mengetuai cabaran kerajaan negeri bagi menghadapi PRN17.

Katanya, beliau merasai kehendak rakyat negeri ini yang mahu supaya kerajaan negeri diketuai oleh parti tempatan, khususnya menerusi GRS selaku satu-satunya gabungan politik berasaskan parti tempatan di Sabah.