BN Sabah Umum MIHA Sebagai Calon Perpaduan Lamag, Naim Untuk Kinabatangan

BN Sabah Umum MIHA Sebagai Calon Perpaduan Lamag, Naim Untuk Kinabatangan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menamakan Mohd Ismail Haji Ayob (MIHA) sebagai calon perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag, manakala Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, diketengahkan sebagai pemimpin pelapis bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata keputusan itu bertujuan mengimbangi keperluan kestabilan politik dan pembaharuan kepimpinan selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang sengit.

“MIHA akan menjadi calon perpaduan BN di Lamag melalui keahlian terus Barisan Nasional, bagi meredakan ketegangan politik dan memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Mohd Ismail, 45, yang sebelum ini bertanding sebagai calon bebas dan hampir menewaskan bekas Ketua UMNO Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan majoriti tipis 153 undi, akan memohon keahlian BN secara rasmi.

Dalam pada itu, Jafry menyifatkan Mohd Naim, 31, anak kepada Bung Moktar, sebagai pemimpin muda berpotensi dengan sokongan akar umbi yang kukuh, khususnya di Kinabatangan yang mempunyai peratusan pengundi muda yang besar.

“Beliau mencerminkan kepimpinan masa depan BN. Pengundi muda memainkan peranan besar dalam pilihan raya lalu dan kita perlu menyediakan pelapis yang mampu membawa parti ke hadapan,” katanya.

Mengulas reaksi bercampur terhadap pengumuman tersebut, Jafry berkata perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun keputusan parti perlu dihormati.

“Kita baru selesai melalui tempoh politik yang panas. Pendekatan jalan tengah ini penting untuk menurunkan suhu politik dan memastikan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

BN Sabah akan menggerakkan jentera parti di seluruh negeri bagi menghadapi PRK Lamag dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pertandingan pelbagai penjuru, sambil menegaskan komitmen terhadap kestabilan politik dan tadbir urus berkesan di Lamag dan Kinabatangan.