KOTA KINABALU, SABAH – Bekas Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Hiew King Cheu mencadangkan penggunaan alat pembaca MyKad dan pengimbas cap jari digunakan keatas semua pengundi pada 19 Nov (Sabtu) nanti.
Katanya ianya berikutan pelbagai pertanyaan yang dibangkitkan berhubung peningkatan mendadak jumlah pengundi baharu dalam daftaran pemilih PRU 15.
Dalam sebuah kenyataan semalam beliau turut meminta SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menjelaskan kenaikan itu.
“SPR mesti melihat situasi ini dengan penuh profesionalisme dan tanggungjawab…
“Majoriti pengundi ingin melihat pilihan raya umum yang bersih dan telus di Malaysia dan khususnya di Sabah,” katanya.
Beliau mencadangkan selain penggunaan dakwat, pengimbas MyCard dan cap ibu jari mesti disediakan untuk mengesahkan identiti sebenar pengundi.
“Jangan ada kesilapan, pengundi yang meragukan mesti ditolak untuk memastikan pilihan raya yang adil…
“Sama seperti yang digunakan di bank, alat-alat ini boleh dibeli dengan mudah dari pasaran dan SPR harus menyediakannya lebih awal.
“Setiap pusat mengundi harus mempunyai beberapa buah yang tersedia untuk tujuan pengesahan identiti,” katanya.
Beliau turut menggesa SPR segera mengatur bagi memastikan pilihan raya umum berjalan dengan baik dan telus tanpa sebarang halangan.