KOTA KINABALU, SABAH – ‘Showcase’ Setahun SMJ akan diadakan pada 28 hingga 30 Mac ini bermula jam 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Kinabatangan II, SICC, Kota Kinabalu sebagai salah satu pengisian Sambutan Setahun Hala Tuju Sabah Maju Jaya (HTSMJ).
Showcase ini melibatkan 28 pempamer terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi negeri dan persekutuan, syarikat-syarikat pelabur, serta syarikat minyak dan gas.
Tujuan utama Showcase ini adalah untuk mempamerkan pencapaian insiatif HTSMJ yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pelabur yang berkolaborasi dengan kerajaan negeri.
Salah satu tarikan kepada pengunjung untuk datang beramai-ramai adalah peluang untuk menyaksikan robot pertama milik kerajaan Negeri Sabah dalam acara ‘Meet and Greet Pepper‘ dalam inisiatif pendigitalan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sepanjang tiga hari showcase dijalankan dan pelbagai hadiah menarik telah disediakan oleh penganjur.
Program tersebut adalah anjuran Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pelancaran Showcase Setahun SMJ dan Career Gig – SMJ akan disempurnakan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Lebih 2,500 jawatan kosong ditawarkan oleh majikan dari pelbagai sektor dan industri seperti jawatan Jurutera Projek, Jurutera Mekanikal, Jurutera Elektrik, Pereka Grafik, Pengurus Sumber Manusia, Agen Takaful, Konsultan Spa, Kerani, Pengurus Akaun, Pengurus Pemasaran dan sebagainya.
Antara majikan yang menawarkan peluang pekerjaan adalah syarikat swasta serta agensi perhotelan terkemuka seperti SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, Talent Suites Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan Kaizen Sdn Bhd, Petra Resources Sdn Bhd, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Zarrich Empire Sdn Bhd, BTC Maju Holdings Sdn Bhd, Marriott Hotel, Sutera Harbour Resort, Allianz General Insurance Co (M) Bhd, Mosulu Construction & Engineering, Ibis Styles Hotel dan banyak lagi.





