KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua pejalan kaki dan dua buah motosikal di Jalan UMS berhampiran Plaza Alam Mesra pada Jumaat semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 malam ketika dua wanita dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Delima melintas jalan secara tiba-tiba.
“Seorang penunggang motosikal wanita yang sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke Sepanggar tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua mangsa,” katanya.
Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke hospital akibat kecederaan parah.
Menurut Kasim, sebuah lagi motosikal turut dipercayai terlibat namun penunggangnya melarikan diri dan identitinya masih belum dikenal pasti.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan penunggang motosikal yang melarikan diri itu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.