Dua Remaja Putatan Hilang Pulang Ke Rumah Dengan Selamat

Dua Remaja Putatan Hilang Pulang Ke Rumah Dengan Selamat

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

PENAMPANG, SABAH – Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan kedua-dua kanak-kanak dari Buit Hill, Putatan yang dilaporkan hilang baru-baru ini telah dijumpai semula dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata penama Nicholas Chee Ping, lelaki berusia 13 tahun, telah dilaporkan balik ke kediamannya sendiri pada Jumaat (9 Ogos).

Manakala penama Rezlo Mic Fadden Romineo, lelaki 15 tahun, telah hadir menyerah diri di Balai Polis Penampang pada kira-kira jam 12 tengah hari Sabtu.

“Pihak polis juga telah mengesan satu rakaman suara berdurasi 32 saat mengenai kehilangan kanak-kanak tular di media sosial.

“Kes kanak-kanak hilang bersabit laporan putatan/3832/2024 adalah tiada kaitan sama sekali.

“Pihak polis meminta orang ramai supaya tidak memuatnaik atau menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih di mana-mana platform atau aplikasi media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat,” tegasnya dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan.

Sammy juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa mengawasi gerak-geri dan pergaulan anak di bawah jagaan masing-masing untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam kenyataan terdahulu, pihak Polis Penampang berkata Nicholas telah mengahbiskan seminggu di rumah seorang rakan dan hanya menghubungi keluarganya setelah laporan polis diterima.