KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi GRS (Gabungan Rakyat Sabah) Datuk Seri Hajiji Noor berkata empat (4) lagi parti tempatan Sabah telah menyatakan hasrat untuk menyertai gabungan itu.
Tanpa menamakan parti-parti tersebut, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata permohonan daripada kesemua parti berkenaan akan dibincang dan dipertimbang dahulu.
“Ini bermakna bahawa apa yang kita lakukan selama ini sejak mendapat mandat rakyat telah memikat hati kawan-kawan daripada parti yang lain untuk menyertai GRS…
“Kalau tidak, mereka tidak akan memohon untuk sertai GRS…
“Mungkin inilah yang dikehendaki oleh rakyat ingin melihat satu gabungan yang kuat untuk memerintah Sabah di masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Armada Bersatu Sabah di Kota Kinabalu semalam.
Bernama memetik Hajiji sebagai berkata GRS adalah parti yang sentiasa mahu mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen gabungan itu yang bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
GRS dianggotai LIMA (5) parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah.
Sebelum ini Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) telah memohon menyertai GRS namun masih menunggu kelulusan.