KUNDASANG, SABAH – Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam bersama isteri, Datin Linda Ewit telah mengadakan kunjungan ke rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.
Beliau mengunjungi sembilan kampung iaitu, Kg. Sinisian, Kg. Dumpiring Atas, Kg. Dumpiring Bawah, Kg. Kundansang Lama, Kg. Desa Aman, Kg. Kinasaraban, Kg. Muhibah, Kg. Lembah Permai dan Kg. Naradau.
Beliau turut diiringi ialah Setiausaha Politik dan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo dan Japli Sami; Ketua Anak Negeri (KAN), Andrew Jaibi; Wakil-wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Justin Tiam dan Aini Tampig yang juga Ketua Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kundasang; Pegawai Kemajuan Masyarakat, Kasinin Basir; Penyelia Masyarakat, Japili Madi; dan Ketua Pemuda PBS Bahagian Kundasang yang juga Setiausaha Perhubungan Kerja, Khairol Majidi Kalimin.
Menurut Dr Joachim, kunjungan ini secara lazimnya dilakukan pada setiap tahun sebelum ini.
“Memandangkan kita terkesan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun, aktiviti seumpama ini dihentikan buat sementara waktu. Kita bersyukur kerana kita dapat mengadakan aktiviti semula pada tahun ini berikutan kelonggaran yang diberikan,” katanya.
“Bagaimanapun, saya menyeru agar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dapat terus kita amalkan,” kata Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.
Semasa kunjungan tersebut, Dr Joachim juga sempat meninjau kawasan yang memerlukan pembinaan parit konkrit yang lebih besar bagi menggantikan pembetung kecil dan sebuah rumah usang yang perlu diperbaiki di Kampung Lembah Permai.
Beliau berharap kunjungan hari raya kali ini dapat mengeratkan lagi silaturahim di kalangan masyarakat DUN Kundasang.