Festival Kebudayaan Bajausama Mulai Ahad Ini

Festival Kebudayaan Bajausama Mulai Ahad Ini

0
SHARE
Bajau
Kamaludin ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024, mulai Ahad ini.

Penyelaras Jawatankuasa Pelaksana Festival, Mohd Kamaludin Mohd Daud berkata, pelbagai aktiviti menjadi pengisian sempena festival berkenaan yang akan berlangsung selama empat hari.

“Antara acara utama adalah pertandingan Ratu Serimpak yang akan diadakan pada 25 Februari disusuli pertandingan Soromas pada 26 Februari.

“Manakala, pada 27 Februari pula, akan diadakan pusingan akhir pertandingan Betitik.

“Seterusnya, acara kemuncak pada 28 Februari iaitu Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2024 yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Antara pengisian menarik sambutan kali ini adalah penganjuran bengkel tarian dan muzik yang menyasarkan pelajar sekolah untuk mempelajari dan mendalami seni budaya rumpun Bajausama.

“Oleh itu, saya menjemput orang ramai untuk hadir ke festival ini yang akan diadakan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kg. Lok Batik, Tuaran,” katanya ketika ditemui media selepas sesi temubual slot Kami Bah Ini! di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Kamaludin yang juga Pengurus Besar Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah berharap agar festival berkenaan turut dapat mempromosikan pusat kebudayaan tersebut sebagai tempat membuat rujukan.

“Selain menjadi destinasi pelancongan, saya berharap pusat kebudayaan ini menjadi tempat untuk generasi muda menimba ilmu dan pengetahuan mengenai rumpun Bajausama,” tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Sayyida Afiqa Sahib. — JABATAN PENERANGAN SABAH