G57 Saran Pegawai PBT Tidak Layan Karenah Pengerusi, Setiausaha JKDM

G57 Saran Pegawai PBT Tidak Layan Karenah Pengerusi, Setiausaha JKDM

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar...

KOTA KINABALU, SABAH – Semua pegawai kerajaan negeri Sabah khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disarankan tidak melayan karenah pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di negeri Sabah yang telah ditubuhkan baru-baru ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata
kerajaan negeri Sabah secara jelas dan terang telah menolak penubuhan JKDM yang telah dilancarkan penubuhannya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini di Sabah.

Menurutnya, semua masalah berbangkit diperingkat kampung atau mana-mana kawasan seharusnya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang telah dilantik oleh kerajaan negeri ini.

“Harus diingat Ordinan Pentadbiran Luar Bandar sebelum ini telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di mana hanya ada satu pentadbiran kampung iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sahaja yang diiktiraf dan dilantik oleh kerajaan negeri.

“Justeru bagi mengelak pertindihan permohonan pembangunan diperingkat kampung adalah sebaiknya semua proses permohonan melalui JKKK atau Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

“Agak menyedihkan apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan, dilihat seolah-olah telah menganaktirikan kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri telah mewujudkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah yang berfungsi untuk menyalurkan peruntukan dari persekutuan bagi membangunkan kemudahan infrastruktur negeri ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berpendirian menyokong penuh kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Justeru Ahmad Zahid sepatutnya melihat jauh kehadapan dan tidak sepatutnya mencampuradukkan soal pembangunan rakyat dan kepartian.

“Rakyat dan kerajaan negeri secara jelas telah menolak penubuhan JKDM kerana ianya jelas bertentangan dengan ordinan undang-undang dan dilihat melayan Sabah sebagai negeri pembangkang,” katanya.