
MELAKA – Gagasan “Keluarga Malaysia” yang dicetuskan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob
meraih sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radi berkata, gagasan itu bersifat lebih inklusif dalam memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira agama, kaum mahupun sempadan.
“Hakikatnya, semasa Barisan Nasional menjadi kerajaan, konsep ini telah dilaksanakan dengan jaya yang membawa kepada kestabilan politik,ekonomi dan kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjaun bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Helam pada Khamis.
Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, perubahan sokongan rakyat khususnya di kawasan tersebut semakin meningkat di mana sebelum ini ramai terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang menimbulkan pelbagai isu sehingga menimbulkan kebencian terhadap kerajaan BN.
“Rakyat sudah tentu dapat menilai Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara. Bukan sahaja keadaan politik negara tidak stabil, ekonomi negara tidak terurus, malah sehingga menjejaskan kehidupan. Jauh lebih baik apa yang dilakukan semasa BN memerintah negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut terhadap tahap sokongan rakyat kepada calon BN Duyong, katanya maklum balas rakyat semasa beliau bersama rombongan UMNO Sabah ke kawasan tersebut amat positif.

Katanya Mohd Noor Helmy bukanlah asing bagi masyarakat di kawasan itu.
“Selain mesra rakyat, beliau telah lama berkhidmat kepada penduduk setempat atas kapasitinya sebagai Ahli Majlis-Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi kawasan Duyong.
“Banyak isu telah ditangani oleh beliau sebagai ahli majlis sebelum ini antaranya masalah banjir, penyaliran longkang, kerosakan jalan raya dan isu-isu setempat yang diselasaikan dengan cepat…
“Ini merupakan eleman penting bagi bakal seorang wakil rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai Ketua Pemuda UMNO di kawasan tersebut sudah tentu Mohd Noor Helmy mempunyai pengalaman untuk memikul tugas serta tanggungjawab jika diberikan peluang sebagai ADUN dalam PRN Melaka kali ini.

“Kita yakin dengan hasil kerja keras semua komponen parti BN khasnya UMNO yang semakin agresif menjelang tempoh kempen selama dua minggu ini…
“Kita akan dapat menarik semula sokongan pengundi kepada BN dalam PRN Melaka kali ini,” tambah Bung.