BUDAPEST, HUNGARY – Demi menuntut wang pampasan insurans, seorang lelaki dilaporkan nekad melompat di hadapan sebuah kereta api agar kedua-dua kakinya putus.
Insiden mengejutkan itu yang berlaku pada tahun 2014 telah menyebabkan kedua-dua kaki lelaki itu dipotong dari bahagian lutut ke bawah dan berjaya menuntut wang pampasan insurans berjumlah £2.3 juta (RM12.8 juta).
Namun, media The Sun melaporkan bahawa pihak berkuasa mengesan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan insiden tersebut apabila tertuduh dilaporkan ada mengambil 14 polisi insurans berisiko tinggi pada tahun dia mengalami kemalangan.
Oleh itu, mahkamah di Hungary telah memutuskan bahawa Sandor Cs., 54, menceroboh masuk ke dalam kawasan landasan kereta api dengan niat agar kedua-dua kakinya digilis.
Tertuduh bagaimanapun mendakwa bahawa dia mengambil kesemua insurans tersebut selepas mendapat nasihat kewangan yang memberitahu bahawa pulangan bagi pelaburan dalam polisi insurans adalah lebih tinggi berbanding akaun simpanan.
Isterinya membuat tuntutan insurans sejurus selepas kemalangan, namun syarikat penyedia insurans enggan membayar pampasan kerana mengesyaki kemalangan itu adalah disengajakan.
Tertuduh mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mendakwa bahawa dia terpijak serpihan kaca sehingga menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh di hadapan sebuah kereta api yang baru berlepas dari stesen.
Siasatan kes itu semakin rumit dan berpanjangan selepas konduktor kereta api menukar kenyataannya dan mendakwa tertuduh sengaja melompat ke hadapan kereta api.
Sebelum itu, dia mengakui bahawa tertuduh terjatuh di hadapan tren tersebut.
Kes itu berakhir dengan tertuduh dijatuhi hukuman penjara tertangguh selama dua tahun dan diarah membayar kos guaman £4,725 (RM26,366).
“Saya berpendapat bahawa keputusan mahkamah amat aneh,” kata Sandor kepada akhbar tempatan, Blikk.