RANAU: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan Majlis Tertinggi GRS sebulat suara bersetuju mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, sejarah membuktikan kerajaan negeri memerlukan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kestabilan politik dan kelangsungan pembangunan.
“Kita mahu hubungan yang erat dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan, dan kita berharap rakyat memahami bahawa segala usaha ini adalah untuk membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Paginatan di Memorial Nunuk Ragang, dekat sini, semalam.
Hajiji menegaskan, pencapaian Kerajaan Negeri GRS–PH dalam mengangkat pembangunan Sabah sudah terbukti dengan lebih 400 inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di mana 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan.
Dakwaan pembangkang, katanya, hanyalah usaha mengelirukan rakyat.
Beliau turut memaklumkan, pelbagai program bantuan telah diluluskan, termasuk peruntukan pendidikan dan kesejahteraan rakyat yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
“Tahun ini sahaja, kita memberi bantuan bulanan RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada GRS–PH,” katanya.
Hajiji juga mengingatkan bahawa Sabah kini memiliki penyertaan lebih besar dalam sektor minyak dan gas selepas pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 2021, satu langkah bersejarah bagi negeri ini.
Menyentuh pembangunan setempat, beliau berkata projek Bandar Baharu Paginatan seluas 200 ekar akan menjadi pemacu ekonomi baharu di kawasan itu.
Projek lima fasa ini bakal menempatkan pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba. Apabila siap, penduduk tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan agensi kerajaan.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) turut komited melaksanakan program pembangunan bandar baharu bagi menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar, selaras dengan agenda SMJ yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Hajiji memberi jaminan semua isu yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, akan diberikan perhatian sewajarnya.






