Hamidin Masih Relevan Galas Tugas Presiden FAM – Bung

Hamidin Masih Relevan Galas Tugas Presiden FAM – Bung

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin...

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyifatkan Datuk Haji Hamidin Mod Amin masih relevan dan layak untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun disebalik desakan pihak tertentu untuk beliau mengundurkan diri.

Katanya, Hamidin merupakan individu paling layak untuk menduduki kerusi nombor satu badan bola sepak negara ketika ini.

“Kegagalan skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2021 di Singapura baru-baru ini tidak wajar dijadikan alasan untuk mendesak Hamidin meletakkan jawatan…

“Jika semua pihak menleiti serta menilai semula apa yang dilakukan Presiden FAM itu sepanjang beliau mula dipilih pada 14 Julai 2018, kredebiliti Hamidin sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana di peringkat antarabangsa, beliau telah mendapat pengikhtirafan dengan dipilih sebagai Naib presiden AFF pada 2019 sebelum melepaskan jawatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hamidin bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan tersebut kerana ingin memberi fokus selepas dipilih semula sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC bagi penggal 2019-2023, sebulan kemudian.

Menurut Bung Moktar, kehadiran Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim ketika pelancaran Peta Hala Tuju FAM F:30 di Kuala Lumpur pada 31 Oktober 2018 mencerminkan hubungan antarabangsa Hamidin cukup baik dan ia diperlukan dalam membangunkan bola sepak Malaysia.

“Takkan hanya kerana skuad Harimau Malaya gagal di Piala Suzuki AFF 2020, kita semua mahu mendesak supaya beliau meletakkan jawatan sedangkan baru saja pada Oktober lalu, skuad B-22 kebangsaan kendalian Brad Maloney berjaya layak selaku 16 pasukan terbaik Piala Asia B-23 2022…

“Begitu juga ketika skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selain prestasi terbaik meraih kemenangan bergaya ke atas Thailand dan Indonesia pada November 2019 ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menambah sudah tentu Hamidin memiliki kredibiliti yang diperlukan sebagai seorang presiden dan tidak timbul keluhan yang FAM kini dipimpin oleh individu yang tidak memahami bola sepak memandangkan beliau seorang berpengalaman luas 30 tahun dalam sukan itu.

“Justeru, pada saya desakan supaya Hamidin mengundur diri sebagai Presiden FAM adalah sesuatu yang tidak wajar sebaliknya perlu terus diberi mandat mengetuai badan bola sepak negara itu,” tambahnya.

Bung Moktar berkata sebarang keputusan Hamidin untuk mengundur diri tidak akan menyelesaikan bola sepak negara.

“Siapa pengganti segera yang sesuai? Peminat perlu fikirkan semua itu, jangan hanya terlalu ikut perasaan gara-gara prestasi kurang baik di Piala Suzuki AFF 2020 tempah hari,” katanya.

Presiden SAFA itu seterusnya berharap peminat bola sepak tanah air sentiasa memandang ke hadapan di samping memberi sokongan terhadap segala usaha yang dilakukan FAM dan Hamidin dalam memacukan bola sepak negara dan skuad kebangsaan.