Isu Gangguan Bekalan Air Bersih Di Tanjung Aru Pulih Dan Selesai –...

Isu Gangguan Bekalan Air Bersih Di Tanjung Aru Pulih Dan Selesai – Bung

0
SHARE
Kerosakan paip air pecah yang telah diperbaiki Jabatan Air di Tanjung Aru...

KOTA KINABALU, SABAH – Isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Tanjung Aru dan sekitarnya telah diselesaikan dan bekalan air bersih pulih seperti sedia kala.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, gangguan berlaku disebabkan kejadian paip pecah di kampung Tanjung Aru dan pihak Jabatan Air telahpun memperbaiki paip tersebut.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata memang berlaku tekanan air rendah sejak berlakunya bencana tanah runtuh di Kampung Kopungit pada awal September lepas yang menjejaskan tangki simpanan air 5 juta liter yang mana separuh daripada kapasiti itu dibekalkan ke kawasan Tanjung Aru.

“Bencana alam sukar kita ramalkan. Ini termasuklah kawasan tangki air Kopungit yang terlibat dengan runtuhan tersebut. Walaubagaimanapun, pihak (JKR) telah membaiki cerun terlibat yang kini dalam perlaksanaan,” katanya.

Bung berkata sebagai mengulas kenyataan media Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tanjung Aru, Junz Wong, yang mendakwa Jabatan Air tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang melibatkan tangki simpanan Air di Kopungit dan masalah gangguan air di kampung Tanjung Aru.

Tambah Bung ada beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di kawasan Tanjung Aru malah di kawasan lain sekitar Kota Kinabalu dan Penampang apabila berlaku banjir di sungai Moyong baru-baru ini, yang menjejaskan kerja merawat air di loji rawaan Kasigui di mana ianya merupakan sumber air bagi kawasan terlibat.

“Untuk menangani masalah ini, tindakan jangka pendek agar bekalan air tidak begitu membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya, kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding pengguna yang semakin meningkat,” katanya.

Bung berkata kerajaan mempunyai rancangan jangka pandek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di negeri ini.

“Sudah tentu jika kita membuat perancangan yang teliti mengenai bekalan air di negeri ini, perkara yang berlaku pada hari ini mungkin dapat kita elakkan,” katanya.

Mengulas dakawaan Junz yang berkata “semasa kerajaan Warisan memerintah tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini”, Bung berkata Junz ternyata berbohong.

Junz Wong…

“Masalah Air di Sabah bukan baharu malah ianya sudah berlarutan dan semasa Warisan menjadi kerajaan pun mereka tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik bekalan air bersih di Sabah…

“Semasa kerajaan Warisan memerintah pun kejadian gangguan bekalan air besih berlaku namun kita tidak nampak apa yang mereka lakukan,” jelas Bung.

Menurutnya, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap bekalan air di Sabah, kementerian beliau sedang membuat kajian untuk memperbaiki dan menyelasaikan isu bekalan air di Sabah.

“Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada perunding dilantik bagi menilai dan memperincikan langkah holistik yang seharusnya dilakukan dalam menangani masalah bekalan air yang sering membelanggu penduduk. Tindakan peringkat demi peringkat akan kita laksanakan,” ujarnya.